Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melihat beras tempatan yang akan dijual kepada orang ramai semasa mengadakan lawatan kerja bagi Pelan Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) di Agrobazaar Kedai Rakyat, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 SEPTEMBER 2023. (Gambar fail).

SERDANG – Orang ramai kini dibenarkan untuk membeli beras putih tempatan (BPT) lebih daripada satu kampit susulan bekalan makanan ruji itu semakin stabil di negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, pengguna boleh membeli BPT kurang daripada lima kampit.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas bekalan BPT kembali stabil hasil pelbagai langkah intervensi dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sejak beberapa bulan lalu.

“BPT (sudah) boleh beli lebih daripada dua kampit, cuma tidak boleh lebih dari lima kampit sahaja,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Rahmah Mesra Aidilfitri KPKM 2025 di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sehingga pertengahan April, sebanyak 3.16 juta kampit beras 10 kilogram (kg) telah diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

“Negeri-negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatatkan jumlah agihan tertinggi.

“Langkah ini menjadi antara usaha penting kementerian untuk menjamin keterjaminan bekalan beras rakyat secara konsisten,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Program Semarak Syawal 2025 yang berlangsung pada Mac lalu sudah mencatatkan kejayaan bagi KPKM.

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada pengguna yang berpeluang mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri pada harga berpatutan tetapi turut membantu meningkatkan pendapatan petani dan usahawan agromakanan menjelang perayaan.

“Program ini telah dilaksanakan di 262 lokasi seluruh negara termasuk Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, RTC serta Medan Niaga Satok di Sarawak dengan penglibatan seramai 9,005 usahawan tempatan,” katanya.

Tambah beliau, KPKM berjaya mencatatkan nilai jualan mencecah RM21.43 juta yang sekali gus melepasi sasaran asal ditetapkan.

“Program Jualan Istimewa Semarak Syawal yang dilaksanakan secara serentak di 42 outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan seluruh negara pada 29 Mac lalu juga mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here