Gobind menghadiri sesi taklimat ‘Penang City: Beyond Smart Cities’ di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Digital menyeru setiap negeri menggubal undang-undang perkongsian data masing-masing bagi menyokong pelaksanaan Akta Perkongsian Data 2025 yang dikuatkuasakan Kerajaan Persekutuan bermula hari ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif tersebut menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Malaysia sebuah negara digital sepenuhnya apabila perkongsian data dapat diperluaskan di semua peringkat.

Penggubalan akta peringkat negeri penting untuk memastikan perkongsian data mematuhi undang-undang yang sah, di samping menjaga keselamatan maklumat pengguna.

“Kalau kita boleh mewujudkan satu ekosistem di peringkat pusat, negeri dan juga kerajaan tempatan ada mekanisme untuk kita kongsi data.

“Seterusnya kita dapat melihat mekanisme untuk data dikongsikan di seluruh negara,” katanya.

Gobind.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat ‘Penang City: Beyond Smart Cities’ di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini hari ini.

Tambah Gobind, pihaknya turut menggalakkan negeri mengambil pendekatan tersendiri dalam membangunkan bandar pintar sebagaimana yang telah dimulakan di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak.

“Antara inisiatif bagi merealisasikan bandar digital termasuk membangunkan perkakasan seperti kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengumpul data dari pelbagai sumber.

“Data yang dikumpul itu kemudian dianalisis bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi termasuklah berkaitan trafik dan keselamatan.

“Kemudahan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) adalah instrumen penting dalam mempercepatkan usaha pemodenan infrastruktur dan perkhidmatan di setiap bandar pintar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here