MELAKA – Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket memproses kad debit dipercayai palsu di Melaka yang didalangi seorang warga Singapura sebelum menjualnya ke pasaran Jepun, sejak Januari lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 42 tahun ditahan di sebuah kondominium dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka kira-kira jam 1.15 petang 23 April lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi menemui pelbagai peralatan termasuk satu set komputer, mesin laser cutting jenama Finmark, mesin heat gun blower, mesin pengimbas kad debit, empat telefon bimbit, selain 227 keping kad debit Joint Development Bank (Laos) dan dua keping kad debit Bank of Monaco.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek akan menerima bekalan kad debit kosong daripada pihak ketiga melalui kurier dan akan meniru data dari kad asal.
“Suspek kemudian akan membuat cetakan semula menggunakan mesin laser sebelum menampal cip dan jalur magnetik baharu.
“Kad debit ini kemudian diubah menjadi kad jenis Premium atau Platinum dan diuji untuk memastikan ia berfungsi sebelum dihantar ke Jepun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Mengulas lanjut Dzulkhairi berkata, siasatan juga mendapati kad debit yang diproses itu menggunakan nama individu dari Jepun dan percaya ia digunakan untuk berbelanja di luar negara dengan nilai simpanan setiap kad antara RM2,000 hingga RM50,000.
“Semakin tinggi nilai dalam kad, semakin mahal harga jualan kad dan suspek dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak $S3,800 untuk kegiatan ini.
“Setakat ini, kita tidak menerima laporan daripada pihak berkuasa Jepun berhubung penipuan kad debit ini, namun polis akan terus bekerjasama dengan bank di Laos dan Jepun bagi mengenal pasti sejauh manakah penyebaran kad ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 424A Kanun Keseksaan iaitu memiliki instrumen pembayaran tanpa kebenaran sah serta Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan melanggar syarat pas,” tambah beliau. – MalaysiaGazette