KUALA LUMPUR – PT Industri Karet Deli, pengeluar tayar terkemuka di Indonesia menyasarkan produk tayar motosikal terbaharu bawah jenama Swallow.
Ia dijangka mendapat sambutan baik dengan sasaran jualan tumbuh sebanyak 10 peratus akhir tahun ini, kata Ketua Pembangunan Jualan Globalnya, Riang Matio.
Menurutnya, tayar jenis SB171 Grip Pro XP dan SB170 Power Storm XP dibangunkan dengan memiliki ciri-ciri tayar yang berinovatif dan dijual pada harga mampu milik.
Menurutnya, dua model tayar itu dikeluarkan daripada hasil penyelidikan mendalam, pemahaman serantau dan kejuruteraan yang berfokus kepada kualiti yang diinginkan penunggang motosikal.
“Kedua tayar ini direka khusus untuk penunggang motosikal tempatan yang mana ia menjanjikan kawalan, keselamatan dan ketahanan luar biasa di atas jalan raya sama ada dalam keadaan kering mahu pun ketika hujan lebat secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua model tayar itu telah melepasi piawaian antarabangsa yang ketat dan memperoleh pensijilan daripada pelbagai institusi termasuk SIRIM QAS (Malaysia), ECE Approval Mark (E4 – Eropah), Japanese Industrial Standard (JIS), TÜV Rheinland (Jerman), Department of Transportation (Amerika Syarikat), IMMETRO (Brazil) serta organisasi piawaian kebangsaan di Indonesia (SNI) dan Filipina.
“Pensijilan ini mencerminkan komitmen Swallow dalam menghasilkan tayar yang boleh dipercayai dan bersedia digunakan di jalan raya, bukan sahaja untuk penunggang Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
PT Industri Karet Deli ditubuhkan sejak tahun 1956 dan ia merupakan pengeluar pelbagai produk daripada tayar basikal dan motosikal hinggalah tayar industri, pertanian, lori dan bas.
Syarikat itu memiliki kilang di Medan dan turut memiliki rangkaian pengedaran di lebih 50 negara.
Mengulas lanjut, Riang merancang meluaskan pengembangan pasarannya di Malaysia dengan menjalin kerjasamanya dengan sebuah syarikat tempatan iaitu Global Pacific-Manufacturing (GPM) untuk memasarkan produk keluarannya.
Katanya, hasil dua tahun kerjasama tersebut, PT Industri Karet Deli telah melancarkan pelbagai jenis produk tayar terbaharu di Malaysia untuk memenuhi keperluan pelanggan.
Melalui kajian dan pembangunan yang teliti, produk keluaran syarikat itu memiliki ciri-ciri dan kualiti yang sentiasa dipertingkatkan bersandarkan permintaan yang diterima daripada pelanggannya.
“GPM adalah peneraju dalam industri die-casting aluminium yang menawarkan penyelesaian kejuruteraan berketepatan tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa sejak tahun 2005.
“Syarikat ini mengkhususkan kepada pengeluaran komponen berkualiti tinggi untuk motosikal, perkakasan, lampu dan aksesori perabot di mana GMP adalah pengedar tunggal tayar bagi Swallow di Malaysia sejak dua tahun lalu,” katanya.
Ketika ini, PT Industri Karet Deli sudah mengeksport tayar ke 50 buah negara dan Malaysia adalah salah satu pasaran penting buat mereka kerana ia tersenarai dalam lima negara utama pengeksport terbesar buat syarikat. – MalaysiaGazette