Foto ECERDC

KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya memudahcara pelaburan komited berjumlah RM1 bilion di Terengganu setakat suku pertama tahun 2025.

Angka itu mewakili 43 peratus daripada sasaran pelaburan sebanyak RM2.4 bilion yang ditetapkan untuk negeri tersebut tahun ini.

ECERDC dalam kenyataan hari ini berkata, sebahagian besar daripada pelaburan itu didorong oleh sektor pelancongan, di mana ia akan mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai hab strategik untuk inisiatif pelancongan bernilai tinggi.

Selain pelancongan, pelaburan tersebut turut merangkumi sektor utama lain seperti pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

Ia sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kepelbagaian ekonomi dan potensi pembangunan negeri tersebut.

“Pelaburan komited ini mewakili sebuah langkah penting dalam transformasi pelancongan dan pertanian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Antara projek di bawah pelaburan komited ini termasuklah ladang solar fotovoltaik berkapasiti 60MW yang telah diintegrasikan dengan projek pertanian, fasiliti pemprosesan Ammonium Paratungstate, serta pusat pengumpulan dan rawatan sisa.

“Projek lain yang sedang dilaksanakan adalah ladang tenusu yang disokong oleh penanaman rumput napier dan sistem biodigester, serta fasiliti pengeluaran Calcined Kaolin,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan yang sama berkata, setakat Mac 2025, pelaburan yang telah direalisasikan di Terengganu mencecah RM729.7 juta dan berjaya mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu.

Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama, diikuti oleh pelancongan, pertanian dan perkhidmatan.

“Terengganu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan strategik dengan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, ECERDC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Kerajaan Negeri juga komited untuk memperkasa inovasi dan pertumbuhan mampan yang merentas sektor utama, daripada pertanian hingga ke pembuatan berteknologi tinggi, demi mencipta peluang pekerjaan berkualiti, merangsang pembangunan jangka panjang dan memperkukuh asas ekonomi negeri,” katanya.

Salah satu pencapaian yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu ialah penyempurnaan kerja-kerja naik taraf infrastruktur di Taman Biopolimer Kerteh (KBP) di bawah Fasa 4A.

Inisiatif itu bakal memperkukuh peranan KBP sebagai platform nasional bagi pengeluaran bahan termaju, teknologi bersih dan biopolimer.

Sejak KBP mula beroperasi pada Jun 2015, ia berjaya merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM5.1 bilion, dan permintaan terhadap lot perindustrian tersebut terus meningkat.

Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat ini, pembinaan Kompleks PKS KBP Fasa 1B kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2025.

Apabila beroperasi kelak, fasiliti ini akan menawarkan unit yang direka khusus bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor tenaga serta perkhidmatan sokongan, sekali gus merangsang pembangunan ekosistem perindustrian yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di Terengganu.

“Infrastruktur strategik seperti KBP dan kejayaan dalam menarik pelaburan berkualiti ini mencerminkan komitmen jangka panjang ECERDC dalam membangunkan ekonomi berdaya saing dan mampan.

Pencapaian ini bukan hanya terhad kepada aspek fizikal semata-mata, malah mencerminkan usaha berterusan kami untuk membina ekosistem yang menyokong inovasi, pertumbuhan yang inklusif serta meningkatkan keyakinan pelabur di peringkat global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.

Seiring dengan pertumbuhan nilai pelaburan, ECERDC turut melaksanakan beberapa projek infrastruktur utama yang berimpak tinggi.

Ini termasuk projek naik taraf Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu yang kini berada di landasan ke arah penyiapan dan dijangka dapat meningkatkan lagi keterhubungan antara Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan pusat bandar.

Projek itu turut merangkumi pembinaan laluan ‘Executive Drive’ yang akan mempercepatkan urusan logistik serta memudahkan akses pelabur ke kawasan strategik. Projek KTCC Promenade Fasa 1 telah mencatatkan kemajuan sebanyak 56% dan dijangka akan merancakkan lagi sektor pelancongan serta menyemarakkan pembangunan bandar Kuala Terengganu secara keseluruhan.

Di samping itu, Ahli Jawatankuasa ICC ECER Terengganu juga telah membincangkan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat – Program Usahawan Tani (IPR-INTAN) untuk memperkasa komuniti B40 melalui amalan pertanian moden dan mampan.

Projek tanaman cili menggunakan kaedah fertigasi di Bukit Bidong dijangka untuk menjadi projek tanaman cili terbesar di Malaysia menjelang akhir 2025, hasil daripada penerapan sistem pertanian berketepatan tinggi serta pengurusan berasaskan komuniti tempatan.

Inisitatif itu turut disokong oleh projek tanaman ubi keledek di Kampung Banggol dan Kampung Saujana, serta projek pertanian integrasi di Taman Rahmat, Marang.

Untuk memperluaskan pelaksanaan program ini, ECERDC sedang memudahcara penggunaan 400 ekar tanah dari sembilan lokasi strategik di Terengganu untuk projek berasaskan pertanian, di mana ia akan memanfaatkan lebih daripada 400 peserta. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here