PUTRAJAYA – Tujuh persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Peguam Negara (AG), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar berkaitan titah adendum merupakan isu kepentingan awam yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
Persoalan itu dikemukakan bagi menyokong rayuannya di Mahkamah Persekutuan dalam usaha mengetepikan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim berpendapat, persoalan undang-undang itu boleh memberi panduan kepada mahkamah mengenai pendekatan yang betul untuk diguna pakai ketika mengendalikan keterangan tambahan dalam semakan kehakiman.
“Tujuh persoalan itu wajar didengar dan diputuskan oleh mahkamah kerana ia melepasi threshold untuk mendapat kebenaran merayu,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara membenarkan permohonan Mohd. Dusuki untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan.
Panel itu turut mengarahkan pendengaran rayuan dipercepatkan dan menetapkan prosiding pada 1 dan 2 Julai ini.
Mereka juga membenarkan permohonan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Hasnah turut berkata, persoalan yang dikemukakan juga berhubung peranan Peguam Negara dalam peringkat kebenaran semakan kehakiman.
Ujar beliau, ia sama ada Peguam Negara terikat di bawah undang-undang untuk mengesahkan kewujudan dan membekalkan salinan dokumen yang disangkalnya.
Menurut Hakim Hasnah, persoalan lain ialah sama ada Peguam Negara mempunyai kewajipan untuk mempertahankan atau mengesahkan keterangan pada peringkat kebenaran prosiding semakan kehakiman.
Ujar beliau, ketiadaan afidavit daripada Peguam Negara untuk menyanggah permohonan Najib bagi mencabar kewujudan dan mengesahkan titah adendum, sesuatu yang menarik perhatian mahkamah untuk dikemukakan dalam rayuan kelak.
Hasnah selanjutnya berkata, responden (Najib) menyatakan Peguam Negara (pemohon) tidak akan diprejudiskan kerana beliau tidak dihalang daripada mengemukakan hujah berhubung penerimaan bukti baharu dan tambahan semasa perbicaraan substantif di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, beliau berkata, panel itu tidak bersetuju dengan pendirian responden.
“Ini kerana dengan membenarkan keterangan baharu dan tambahan di peringkat Mahkamah Rayuan, pemohon tidak lagi boleh berhujah di Mahkamah Tinggi mengenai kebolehterimaan keterangan baharu atau tambahan itu.
“Memandangkan Mahkamah Tinggi akan terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan untuk menerima bukti baharu atau tambahan, pemohon dalam konteks itu, pastinya akan mengalami prejudis,” ujar beliau.
Mohd. Dusuki ketika berhujah sebelum ini berkata, persoalan yang dikemukakan memerlukan penentuan mahkamah untuk memberikan panduan lebih-lebih lagi, perkara subjek dalam semakan kehakiman melibatkan pelaksanaan kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang mencetuskan perdebatan serius dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berhujah, permohonan kebenaran merayu wajar ditolak kerana persoalan undang-undang yang dikemukakan kini akademik kerana Mahkamah Rayuan sudah memutuskan titah adendum wujud.
Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan bekas Perdana Menteri mencabar kewujudan titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette