Istana Kehakiman, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak mencabar titah adendum.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim membenarkan beliau mengemukakan tujuh persoalan undang-undang untuk dihujahkan dalam pendengaran rayuan kelak.

Mahkamah berpuas hati, persoalan undang-undang yang dikemukakan itu menyentuh isu kepentingan awam yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Mohd. Dusuki memohon kebenaran merayu dalam usaha mengetepikan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman berkaitan titah adendum ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Mahkamah tertinggi negara selesai mendengar penghujahan Mohd. Dusuki dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri pada 24 Mac lalu.

Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan bekas Perdana Menteri mencabar kewujudan titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Berita selanjutnya menyusul – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here