PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan berpendirian rayuan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar berkaitan titah adendum harus dipercepatkan kerana persoalan undang-undang yang dibangkitkan bukan sahaja memberi kesan kepada beliau malah Datuk Seri Najib Razak sendiri.
Sehubungan itu mahkamah menetapkan rayuan didengar pada 1 dan 2 Julai ini.

Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim berkata, meskipun tarikh pendengaran sustantif semakan kehakiman bekas Perdana Menteri belum ditentukan oleh Mahkamah Tinggi, tarikh rayuan harus ditetapkan segera.
“Semakan kehakiman difailkan tahun lalu dan setakat ini tiada penangguhan dibenarkan. Oleh yang demikian, tarikh pendengaran perlu disegerakan kerana melibatkan kepentingan bukan sahaja kepada Peguam Negara, malah responden (Najib),” ujar beliau.
Hakim Hasnah menyatakan demikian ketika membenarkan Peguam Negara merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara membenarkan Mohd. Dusuki mengemukakan tujuh persoalan undang-undang untuk dihujahkan kelak.
Mahkamah berpuas hati, tujuh persoalan undang-undang itu merupakan isu kepentingan awam yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib menarik perhatian mahkamah dengan memohon pertimbangan agar panel lima hakim atau tujuh hakim mendengar rayuan tersebut.
Bagaimanapun Hasnah menyatakan ia terserah kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk menentukannya.
Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan bekas Perdana Menteri mencabar kewujudan titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Titah adendum: AG dibenar kemuka 7 persoalan undang-undang berkepentingan awam