JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mahu kerajaan negeri menimbang permohonan penduduk Kampung Melayu Majidee, di sini, yang menukar status Tanah Rizab Melayu (TRM) pajakan negeri 99 tahun kepada hak milik kekal.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, permohonan itu mengambil kira kepentingan dan kedudukan Kampung Melayu Majidee yang berada di bandar raya ini.
“Sebab itu, perkara ini perlu diberikan perhatian sewajarnya agar pihak kerajaan negeri dapat mencari formula yang membolehkan kebajikan dan kependudukan orang asal atau pemilik tanah kekal di kawasan mereka.
“Selain itu, ia membolehkan perancangan negeri itu dapat diselaraskan sebaik mungkin tanpa mengenepikan hak dan kedudukan mereka di bandar raya ini,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Parlimen Johor Bahru di Sekolah Kebangsaan Taman Suria, di sini, semalam.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, lebih 40,000 penduduk kampung tersebut hidup dalam dilema setelah permohonan penukaran status TRM pajakan negeri 99 tahun kepada hak milik kekal kepada kerajaan negeri masih tidak berjawab.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff dilaporkan berkata, ini kerana tempoh pajakan hanya berbaki 28 tahun lagi dan akan berakhir pada 2053.
Jelasnya, jika tiada tindakan segera, penduduk berisiko kehilangan tanah pusaka yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang mereka.
Akmal berkata, usaha berkaitan status hak milik tanah ini juga penting kerana terdapat beberapa kawasan lain di bandar raya ini yang berstatus pajakan atau leasehold.
Katanya, antara kawasan lain yang mengalami isu sama ialah di Larkin yang mana tempoh pajakan kini kurang daripada tempoh 50 tahun.
“Oleh itu, perlu ada ruang perundingan antara kerajaan negeri dan penduduk Kampung Melayu Majidee, sama ada secara terus atau melalui wakil persatuan tersebut agar perkara ini dapat dilihat dengan mendalam.
“Saya difahamkan surat permohonan telah dihantar oleh pihak persatuan. Biarlah perkara itu diteliti dan sebaiknya mesyuarat diadakan segera untuk berunding isu ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette