SUNGAI PETANI – Seorang wanita maut dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika sedang sarapan di sebuah kedai kopi di simpang tiga Jalan Taman Bersatu di sini, hari ini.
Kejadian jam 9 pagi itu menyebabkan mangsa, Han Chin Ting, 55, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku jam 9 pagi apabila MPV jenis Perodua Alza yang dipandu wanita berusia 68 tahun itu dikatakan terbabas sehingga memasuki bahagian dalam kedai kopi.
“Hasil siasatan mendapati pemandu berkenaan diserang angin ahmar menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas hingga memasuki kedai tersebut sebelum melanggar mangsa yang sedang menikmati sarapan di meja.
“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa yang juga seorang peniaga mengalami kecederaan di beberapa bahagian termasuk luka di lengan kanan dan kiri, kedua-dua kaki, muka dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.