KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika dalam perjalanan pulang dari surau di Pengkalan Arang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.35 malam itu, mangsa Ali Mohamaed, 77, yang menunggang motosikal jenis Honda Waze meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Ford Ranger tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal keluar secara tiba-tiba, dari bahu kiri jalan dan melintas masuk ke laluan sama sebelum dirempuh Ford Renger yang dari arah Kuala Terengganu ke Gong Badak.
“Mangsa dipercayai baru pulang dari surau maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama