KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkasa perkhidmatan awam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru warga MINDEF untuk serius melaksanakan transformasi digital.
Mohamed Khaled turut menggesa agar MINDEF segera mempercepatkan pemodenan perkhidmatan melalui teknologi digital, automasi dan kecerdasan buatan (AI) sebagai kunci utama melonjakkan tahap kecekapan kementerian.
“Penggunaan automasi, kecerdasan buatan (artificial intelligence AI), big data dan integrasi sistem akan dapat mengurangkan beban tugas manual dan pembaziran sumber.
“Melalui teknologi dan pendigitalan, kita bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
“Malah, akan menjadi semakin bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai tuntutan serta kedinamikan perkhidmatan awam yang semakin mencabar.
“Tetapi, teknologi yang canggih sahaja tidak mencukupi. Tenaga kerja yang mahir dan berdedikasi seperti tuan-tuan dan puan-puan semua masih menjadi tonggak,” katanya dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan, hari ini.
Ucapan Khalid dibacakan Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Hadir sama adalah Panglima Angkatan Tentera (PAT), Datuk Mohd Nizam Jaffar; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Mohd Fauzi Tengku Ibrahim dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Kesemua penerima menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi wang tunai bernilai RM 1,000 manakala pesara awam yang bersara wajib pula telah menerima Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT), Sijil Penghargaan serta wang tunai berjumlah RM 600 termasuk pesara awam bersara pilihan yang menerima Sijil Penghargaan dan wang tunai bernilai RM 600.
Pada majlis itu, seramai 304 warga awam MINDEF dan 45 warga ATM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024.
Sementara itu, Mohamed Khaled mengingatkan bahawa kejayaan kementerian tersebut tidak hanya bergantung kepadam perancangan strategik semata-mata.
Jelasnya, sebagai sebuah pasukan besar di MINDEF dan ATM, banyak inisiatif dan perubahan yang telah berjaya kementerian tersebut lakukan hasil kesungguhan warga MINDEF.
“Sejak saya digalaskan tanggungjawab untuk mengemudi kementerian ini, saya menyaksikan sendiri, pelbagai perubahan dan penambahbaikan telah kita usaha dan jayakan bersama.
“Cuma, saya juga ingin tegaskan, yang masih banyak yang perlu kita lakukan. Masih banyak misi dan aspirasi yang harus diusahakan dan sangat memerlukan kesungguhan daripada segenap lapisan perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyeru semua warga MINDEF dan ATM untuk melipatgandakan komitmen dan profesionalisme dalam menjadikan Malaysia berperanan penuh sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.
“Ini bukan sahaja tugas kementerian, tetapi juga tanggungjawab patriotik kita mengangkat nama negara,” tegas beliau. – MalaysiaGazette