PUTRAJAYA – Komposer Muhammad Yasin Sulaiman tidak perlu lagi ditahan di Penjara Kajang, dekat sini, sebaliknya akan ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenan Sultan Selangor.
Penyanyi itu telah menjalani tempoh tahanan di penjara tersebut sejak tiga tahun lalu.
Dia sempat meluahkan perasaannya kepada salah seorang ahli keluarga sebelum Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan rayuannya hari ini.
Abangnya, Zain Sulaiman, 53, berkata, penyanyi itu bersedia menghadapi apa sahaja keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan atas kesalahan berkaitan dadah.
Ujar Zain, adiknya berkata: “Ini adalah harinya, saya bersedia dengan segala keputusan yang dibuat mahkamah.”
Menurut abang penyanyi itu, adiknya reda menerima apa sahaja keputusan yang ditentukan mahkamah dan tetap mendoakan yang terbaik.
Pada masa sama, Zain turut memanjatkan rasa kesyukuran selepas mahkamah melepas dan membebaskan adiknya serta berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan moral kepada mereka sekeluarga.
Zain ditemui wakil media sejurus selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan akhir komposer tersebut berkaitan kesalahan dadah.
Susulan keputusan itu, Muhammad Yasin terlepas hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan apabila keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dikembalikan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali mengarahkannya ditempatkan semula di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan Sultan Selangor.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman tersebut. – MalaysiaGazette