PUTRAJAYA – Komposer dan penyanyi, Muhammad Yasin Sulaiman terlepas hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan akhirnya berkaitan kesalahan melibatkan dadah.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali bagaimanapun mengarahkannya ditempatkan semula di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan Sultan Selangor.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman tersebut.
Sebaliknya, panel itu mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023 yang melepas dan membebaskan Muhammad Yasin, 50, daripada ketiga-tiga pertuduhan.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Che Ruzima berkata, panel tersebut berpuas hati bahawa perayu telah melakukan kesalahan seperti mana dalam pertuduhan, namun dia tidak boleh disabitkan kerana ketidakwarasan fikirannya pada masa itu.
Menurut beliau, mahkamah berpuas hati dengan dapatan tersebut selepas meneliti keterangan saksi pembelaan pertama (SD1) yang merupakan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr. Ian Llyod Anthony.
Ujar beliau, panel itu turut menilai isu yang dibangkitkan pihak pembelaan iaitu berkaitan ketidakwarasan perayu dari segi undang-undang (legal insanity).
“Laporan perubatan mental (D121) yang dikeluarkan oleh Dr. Ian serta keterangannya di mahkamah, bukan berdasarkan kepada keterangan dengar cakap (hearsay).
“Ini kerana D121 dan keterangan SD1 di mahkamah adalah berasaskan kepada pemeriksaan dan pemerhatian terhadap perayu secara langsung,” kata beliau.
Mahkamah turut berpendirian, sejarah perubatan Muhammad Yasin yang diperoleh daripada empat pusat kesihatan mengesahkan perayu sememangnya mengalami masalah kecelaruan bipolar (bipolar disorder) dan gangguan itu dikesan sejak 2007 sehingga 2013.
“Ini bermakna berlaku ‘relapse’ (kembali sakit) ke atas masalah dialami perayu. Keterangan juga menyatakan perayu telah diberi ubat-ubatan untuk mengatasi masalah kecelaruan bipolar,” katanya.
Oleh yang demikian, panel itu berpendirian, Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf apabila memutuskan persoalan berkaitan ketidakwarasan dari segi undang-undang yang dihidapi Muhammad Yasin.
Penyanyi berkenaan mengemukakan rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Ogos tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
Penyanyi lagu ‘Mimpi Laila’ dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan untuk kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.
Bagi kesalahan menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik, Muhammad Yasin dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan manakala untuk kes memberi dirinya dadah berbahaya, dia dihukum penjara 10 bulan.
Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap pembebasan itu dan Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan tersebut serta mendapati Muhammad Yasin bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Yasin didapati bersalah kerana memiliki 193.7 gram kanabis di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022 manakala pertuduhan kedua membabitkan penanaman pokok kanabis di tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan ketiga ialah memberikan dirinya dadah jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada tarikh sama. – MalaysiaGazette