MELAKA – Melaka secara rasminya hari ini melancarkan fasa pertama pengeluaran Beras Melaka yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurutnya untuk fasa pertama, sebanyak 4,000 kampit beras akan dijual kepada rakyat di negara ini pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg).
“Bagi memastikan Beras Melaka ini sampai kepada golongan sasar rakyat di negeri ini, sebanyak empat lokasi jualan ditetapkan yang dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Empat lokasi berkenaan adalah pasar tani, Agrobazaar Kedai Rakyat, Program Jualan Agro MADANI dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Beras Melaka sempena Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Bilik Tun Mutahir, di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Pengarah FAMA Melaka Nor Azhar Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, terdapat enam lokasi pasar tani pada waktu pagi iaitu Alor Gajah yang beroperasi pada hari Ahad, Masjid Tanah (Sabtu), Merlimau (Selasa dan Ahad) Jasin (Rabu dan Sabtu) dan Selandar pada setiap hari Khamis.
“Beras Melaka turut boleh didapati di kesemua 28 Agrobazaar Kedai Rakyat di seluruh negeri ini.
“Orang ramai boleh mengikuti hebahan lokasi jualan yang akan sentiasa dikemas kini bergantung kepada jadual aktiviti FAMA negeri,,” katanya.
Sementara itu, Dr. Muhamad Akmal berkata, bagi penjualan fasa pertama, Beras Melaka dihadkan kepada satu kampit 10 kg untuk satu keluarga sahaja.
“Saya ingin ingatkan Beras Melaka ini tidak boleh dijual kepada warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette