KUALA LUMPUR – Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) mencatatkan prestasi kukuh bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (1H TK2025), meskipun berdepan tekanan ekonomi global dan sentimen pengguna yang lemah.
Syarikat itu merekodkan peningkatan hasil sebanyak 1.4 peratus kepada RM2.72 bilion, manakala keuntungan operasi meningkat 4.3 peratus kepada RM434.8 juta, disokong jualan yang kukuh dan kos input yang lebih rendah di pasaran Malaysia serta Indochina.
Bagaimanapun, prestasi suku kedua sedikit perlahan berikutan penurunan hasil sebanyak 1.4 peratus kepada RM1.33 bilion, disebabkan permintaan musim perayaan yang kurang memberangsangkan dan jualan lemah di pasaran serantau.
Bagi tempoh 1H TK2025, keuntungan sebelum cukai meningkat 4.9 peratus kepada RM430.1 juta, namun keuntungan selepas cukai susut 7.6 peratus kepada RM310.4 juta berikutan penamatan insentif cukai oleh Lembaga Pelaburan Thailand (BOI).
Sejajar dengan prestasi semasa, F&NHB mengumumkan dividen interim sebanyak 30 sen sesaham, melibatkan bayaran RM110 juta yang akan diagihkan pada 30 Mei 2025.
Tumpu pengeluaran susu tempatan, tingkat sekuriti makanan
Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe berkata, syarikat kini memberi tumpuan kepada pelaburan strategik termasuk pembangunan ladang tenusu F&N AgriValley di Gemas, Negeri Sembilan.
Setakat ini, lebih 2,700 ekor lembu baka Holstein dari Chile telah tiba dan menyesuaikan diri di ladang seluas 2,726 ekar. Pengeluaran susu dijangka bermula bulan depan, dengan produk susu segar bakal dipasarkan di bawah jenama Magnolia.
Fasa pertama dijangka menghasilkan 100 juta liter susu segar setahun, sebelum digandakan kepada 200 juta liter apabila populasi lembu mencapai 20,000 ekor.
Selain susu, ladang itu turut menyasarkan pengeluaran 10,000 ekor lembu daging setahun serta menghasilkan makanan ternakan tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.
“Usaha ini menyokong agenda sekuriti makanan negara dan menyediakan susu segar berkualiti tinggi pada harga mampu milik,” kata Lim.
Perluas operasi di ASEAN, tambah kapasiti di Malaysia
Dalam perkembangan lain, F&NHB memaklumkan kilang tenusu baharu di Kemboja akan mula beroperasi awal 2026, memfokus kepada pengeluaran susu pekat manis untuk pasaran tempatan dan rantau ASEAN.
Syarikat itu juga akan membuka kilang minuman baharu di Pulau Pinang menjelang Ogos 2025, bagi memenuhi permintaan di bahagian utara Semenanjung Malaysia.
“Kilang baharu ini akan membantu kami memenuhi keperluan pasaran tempatan dengan lebih cekap, selain mengurangkan jejak karbon,” ujar Lim.
F&NHB menyatakan pihaknya akan terus berwaspada dalam perbelanjaan, namun kekal komited membina asas kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang dan penciptaan nilai berterusan bagi pemegang saham. – MalaysiaGazette