Bersama sebahagian warga kampung Menerong dan UMT.

AJIL – Kampung Menerong secara rasmi telah diiktiraf sebagai Kampung Angkat Madani di bawah seliaan Universiti Malaysia Terengganu.

Pengiktirafan ini selaras dengan inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri melalui Program Kampung Angkat Madani (KAM), bagi memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan komuniti dalam membangunkan kawasan luar bandar secara menyeluruh dan holistik.

“Sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan projek naik taraf infrastruktur serta pembangunan komuniti di Kampung Menerong, dalam usaha merapatkan jurang desa-bandar secara menyeluruh,” jelas Profesor Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor, Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat Dan Digital).

Menurutnya, jalinan erat antara UMT dan Kampung Menerong sebenarnya telah lama terbina menerusi pelbagai bentuk kerjasama berasaskan komuniti.

Hubungan strategik ini telah membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.

Penduduk kampung masih kekalkan tradisi gotong royong.

Antara inisiatif utama yang telah dijalankan termasuklah Projek Penternakan Kelulut, yang memberi peluang kepada penduduk kampung untuk menjana pendapatan melalui penghasilan produk hiliran berasaskan madu kelulut.

Lebih membanggakan, Galeri Kelulut Kampung Menerong juga
berjaya dibangunkan sebagai pusat tumpuan komuniti dan platform untuk mempromosikan produk tempatan.

Projek Pelancongan Komuniti Desa Persisiran Sungai: CBT Little Amazon pula diperkenalkan bagi mengetengahkan keindahan alam semula jadi Kampung Menerong kepada pelancong luar melalui pendekatan pelancongan berasaskan komuniti.

Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar, malah turut membantu memperkasakan ekonomi penduduk secara mampan.

Kesemua inisiatif ini telah digerakkan melalui sokongan Dana Sejati Madani dengan peruntukan sebanyak RM200,000, serta Komuniti@UniMADANI dengan nilai tambahan RM36,200, menjadikan keseluruhan projek ini sebagai satu ekosistem pembangunan komuniti yang saling melengkapi.

Penduduk Kampung Menerong turut diberi peluang memperkenalkan dan memasarkan produk kelulut mereka ke pasaran lebih luas melalui penyertaan dalam pelbagai program dan karnival anjuran universiti.

Melalui platform seperti ini, mereka bukan sahaja dapat memperluaskan jaringan pemasaran dan mengetengahkan produk kepada audiens yang lebih pelbagai, malah turut berpeluang meningkatkan kemahiran komunikasi, pemasaran serta keyakinan diri dalam mempromosikan produk secara langsung kepada pengunjung.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Zainudddin Mohd menzahirkan rasa penuh kesyukuran mewakili seluruh penduduk kampung di atas pemilihan Kampung Menerong sebagai Kampung Angkat Madani UMT.

“Semoga dengan kehadiran UMT, pembangunan Kampung Menerong akan lebih kehadapan bukan sahaja dari sudut sosio ekonomi, malah pembangunan pendidikan anak-anak akan lebih berkembang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here