Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melihat replika projek perumahan selepas melakukan gimik pelancaran ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI & Rumah Mampu Milik di Padang Bola Sepak PPR Batu Muda, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 29 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Malaysia telah mengemukakan rayuan kepada Myanmar untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata di negara itu yang dijadualkan berakhir esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar Mahn Win Khaing Than.

Menurutnya, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN sedang memantau perkembangan yang berlaku di negara bergolak itu.

“Gencatan senjata adalah kritikal bagi memastikan bantuan kemanusiaan diberikan kepada semua. Tidak sepatutnya ada sebarang diskriminasi. Ia dipersetujui.

“Jadi kami telah menghantar satu lagi rayuan untuk lanjutkan gencatan senjata. Kita mahu mereka menghormati ini kerana jika tidak rakyat akan menderita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang dilaporkan berlaku antara kedua-dua pihak, Perdana Menteri menyifatkan tuduhan itu tidak berlaku dalam semua kes.

“Tuduhan kedua-dua pihak mengenai ketidakpatuhan kepada perjanjian gencatan senjata tidak berlaku dalam semua kes,”ujarnya.

Terdahulu sebelum ini, Junta Myanmar mengumumkan lanjutan gencatan senjata sehingga susulan gesaan daripada kumpulan bantuan kemanusiaan dan pengantara antarabangsa yang memohon lebih masa bagi melancarkan usaha bantuan pasca bencana selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda negara itu.

Sehingga kini, seramai 3,700 terkorban selain kemusnahan besar di kawasan tengah negara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here