Presiden Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

IPOH – Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) menghormati keputusan XOX Berhad membubarkan pasukan Perak FC dan menarik diri daripada Liga Super musim hadapan.

Presidennya Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pihaknya juga mengambil maklum keputusan syarikat telco berkenaan tidak menghantar Pasukan Piala Belia dan Piala Presiden.

Menurut beliau, ia memandangkan XOX Berhad memiliki 100 peratus pemilikan saham Perak FC.

“PAFA amat menghargai dan merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada XOX Berhad atas sumbangan yang diberikan kepada pasukan bola sepak negeri melalui Perak FC.

“⁠PAFA amat bersimpati dengan nasib yang dihadapi oleh pemain-pemain pasukan Perak FC terutama pemain muda dan akan membantu mengikut keupayaan sedia ada khususnya dalam aspek pembangunan bolasepak dan kerjaya pemain-pemain muda Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azhar berkata, PAFA akan memastikan pembangunan bola sepak di setiap daerah dan negeri Perak tidak terjejas dengan keputusan ini.

“Sehubungan itu, PAFA akan terus fokus untuk pembangunan bola sepak peringkat akar umbi bagi melahirkan pemain bola sepak yang berkualiti dan berintegriti sebagaimana mandat yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.

“Perancangan semasa PAFA adalah pembentukan pasukan SUKMA 2025/2026 disamping mempertimbangkan untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada pasukan SUKMA yang dibentuk untuk menyertai Liga A1 atau A2,” katanya.

Tambah beliau, PAFA juga akan merujuk dan mendapatkan nasihat daripada Kerajaan Negeri serta FAM , MFL dan AFL untuk sebarang langkah yang bakal diambil.

“Terima kasih kepada semua khususnya YAB Menteri Besar Perak atas sokongan dan dokongan berterusan kepada PAFA untuk program pembangunan bola sepak negeri,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi memaklumkan Perak FC secara rasminya menarik diri dari saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan.

Susulan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Kerajaan Negeri tidak mampu untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang melanda Perak FC susulan pasukan itu terpaksa menarik diri daripada menyertai saingan Liga Super musim depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here