JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang pekerja restoran atas pertuduhan membunuh abang iparnya di Taman Desa Cemerlang empat tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakimannya memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap lelaki warganegara Myanmar, Kyaw Hlaing, 30.
Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, pendakwaan telah gagal membuktikan identiti mangsa ialah Than Tun Hlain yang merupakan abang ipar tertuduh.
Keputusan tersebut katanya, selepas pihak mahkamah meneliti semua keterangan kes pendakwaan secara maksima dan setelah menghalusi hujahan bertulis pihak terbabit.
“Mahkamah ini berpendapat pendakwaan juga telah gagal membuktikan kematian atas si mati disebabkan perbuatan tertuduh.
“Pendakwaan bergantung kepada keterangan sekeliling bagi mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan keatas simati.
“Tiada keterangan yang kukuh bagi membuat simpulan tali yang kuat menjurus kepada tertuduhlah orang yang membunuh si mati,” hujahnya.
Menurut Abu Bakar, fakta tertuduh pergi ke Subang Jaya tanpa keterangan lainnya tidak boleh mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan si mati.
Tambahnya, tiada asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh ditemui di tempat pembunuhan dan pada pakaian tertuduh yang dirampas di Subang Jaya tidak menemukan kesan darah si mati.
“Baju dan seluar tertuduh tidak dihantar untuk tujuan DNA adakah wujud DNA si mati?
“Berdasarkan alasan-alasan itu, mahkamah ini berpendapat pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Tertuduh lepas dan bebas dari pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela dirinya.
Ujarnya, semua eksibit (melainkan dokumen) diserahkan kepada pihak polis untuk simpanan selamat sehingga rayuan (jika ada) dilupuskan.
Di dalam kes berkenaan, pertuduhan terhadap tertuduh adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes didengar di hadapan Hakim Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam Kamal Hisham Ja’afar dan Nurainaa Kamilah Zalizan.
Mengikut pertuduhan, lelaki Myanmar itu dituduh membunuh Than Tun Hlain antara pukul 11 malam, 3 Mei 2021 hingga 7.35 pagi keesokan harinya di Jalan Tanjung 2, Taman Desa Cemerlang dan dengan itu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum dengan hukuman gantung hendaklah dipenjarakan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika disabit kesalahan.
Tertuduh telah mengaku tidak bersalah untuk pertuduhan tersebut yang telah dibacakan kepadanya dan telah minta untuk dibicarakan.
Seramai sembilan saksi pendakwaan telah dipanggil dan memberikan keterangan.- MalaysiaGazette