PUTRAJAYA – Pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak yang di asrama yang terjejas akibat kebakaran semalam akan diberikan penempatan sementara.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pilihan penempatan sementara yang berdekatan dengan sekolah tersebut.
“Jadi asrama ini menempatkan lebih kurang 96 orang pelajar yang memerlukan segera penempatan semula asrama dan kita telah kenal pasti penempatan baru sementara proses pembaikan asrama ini kerana ia melibatkan anak-anak yang memang memerlukan asrama dan mengalami kesukaran untuk berulang-alik dari rumah ke sekolah.
“Sebenarnya ada beberapa pilihan, kita boleh buat penyuraian di asrama terdekat, kita juga ada kuarters guru yang berhadapan dengan betul-betul asrama itu dan itu antara pilihan yang terbaik kita adalah supaya dekat, tidak perlu pergi jauh sangat ke asrama lain.
“Kerana sekali lagi isunya logistik, kita tidak mahu mereka terpaksa jalan jauh sikit daripada sekolah, kita sedang pastikan bahawa penempatan baru itu dekat dan juga selesa untuk mereka,” katanya ketika sidang media di Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO Ke-56 2024 hari ini.
Dalam masa yang sama, Fadhlina berkata, warden asrama yang turut terjejas akan diberi bantuan daripada Yayasan Guru Malaysia (YBM).
Sehingga kini KPM membenarkan pelajar yang terjejas akibat kebakaran semalam meneruskan pembelajaran secara dalam talian.
“Setakat ini, buku teks, kelengkapan sekolah semua telah pun diberikan kepada anak murid ini.
“Buat masa sekarang, mereka akan belajar secara talian sementara menunggu proses penempatan semula dan (ada juga) ibu bapa juga telah memberikan komitmen untuk menghantar mereka ke sekolah setakat ini sehingga penempatan semula mereka di asrama dapat kita uruskan dengan segera,” tambahnya.
Sebagai rekod, sebuah blok asrama yang menempatkan lebih 90 pelajar lelaki terbakar pada 8.43 malam.
Bagaimanapun, semua pelajar dilaporkan selamat kerana kejadian berlaku ketika mereka berada di surau sekolah untuk menunggu waktu Isyak.
Komander Operasi Bomba TPgB II Japari Tajuddin memaklumkan kebakaran membabitkan tingkat satu bangunan itu mengakibatkan 80 peratus bahagian asrama musnah.
Terdahulu, Fadhlina menerusi perkongsian di Facebook hari ini berkata, KPM akan menyalurkan bantuan segera kepada sekolah berkenaan.
Beliau berkata tumpuan pada masa ini adalah memastikan keselamatan pelajar, guru dan seluruh warga sekolah terpelihara.-MalaysiaGazette