KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, menahan reman seorang penolong jurutera sebuah kementerian dan suami kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 daripada syarikat pemaju sebagai dorongan mendapatkan dokumen berkaitan projek perumahan di sebuah daerah di negeri Selangor.
Perintah reman selama lima hari sehingga 3 Mei 2025 telah dikeluarkan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Seremban, Negeri Sembilan, pagi tadi.
Menurut sumber, pasangan suami isteri tersebut yang berusia lingkungan 30 dan 40-an telah ditahan sekitar jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Dalam kes ini suami suspek utama iaitu penolong jurutera dipercayai bersubahat bersama meminta suapan berjumlah sekitar RM15,000 sejak Februari hingga April 2024.
“Suspek disyaki menerima wang rasuah daripada syarikat pemaju terbabit secara tunai dengan dua kali bayaran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette