Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali menunjukkan barang rampasan berkenaan sindiket pengedaran dadah dalam Ops AGBA di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, Foto AIZAT ZAINAL, 29 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Tiga saudara lelaki disyaki menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah antarabangsa berpangkalan di Amerika Latin yang menggunakan Malaysia sebagai pusat transit sebelum dadah dihantar ke Korea Selatan dan Jepun.

Ketiga-tiga suspek, berusia 27, 38 dan 39 tahun, diberkas dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sebuah rumah tiga tingkat di Taman Nadayu, Kajang pada 24 April lalu.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, mereka ditahan ketika sedang membungkus syabu dalam kediaman yang dijadikan pusat pemprosesan dadah.

“Serbuan itu seterusnya membawa kepada rampasan dadah terbesar setakat ini bagi tahun 2025 dan melibatkan 1,986 kilogram dadah jenis syabu, 97 kilogram ketamin dan 82 kilogram ekstasi.

“Keseluruhan rampasan mencecah 2,165 kilogram atau 2.165 tan metrik, dengan nilai pasaran keseluruhan dianggarkan sebanyak RM82.14 juta.

“Dadah tersebut cukup untuk memudaratkan lebih 10.5 juta pengguna jika diedarkan,” katanya dalam sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket dadah ‘Ops Agba’ di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah-dadah berkenaan tidak dibawa masuk dari Segi Tiga Emas seperti kebiasaannya, sebaliknya berasal dari Amerika Latin.

“Ia diseludup masuk ke Malaysia menggunakan kontena kapal besar, disamarkan sebagai barangan seperti plastic flakes dan dipercayai masuk melalui Pelabuhan Klang.

“Dadah itu kemudian dibungkus semula untuk dihantar ke Korea Selatan dan Jepun, di mana satu kilogram syabu boleh mencecah harga lebih RM400,000,” tambahnya.

Kesemua suspek dikenal pasti sebagai pemain utama sindiket dan bukan hanya mengurus pembungkusan dan penghantaran di peringkat tempatan malah dipercayai mempunyai hubungan langsung dengan pengedar dari Amerika Latin.

“Susulan serbuan awal, dua lagi premis di Cheras Perdana turut diserbu keesokan harinya di mana JSJN telah merampas tambahan 69 bungkusan ketamin, tiga bungkusan syabu, serta 81 ketulan ekstasi dan 26 bungkusan ketamin.

“Hasil siasatan menunjukkan sindiket ini mula aktif sejak awal tahun 2025. Ketiga-tiga premis terbabit disewa sejak Oktober tahun lalu dengan kadar antara RM2,000 hingga RM2,600 sebulan.

“Suspek kedua dipercayai bertanggungjawab menyewa semua unit yang dijadikan stor dan makmal pembungkusan,” ujar beliau.

Daripada ketiga-tiga suspek, seorang didapati positif methamphetamine, manakala dua lagi mempunyai rekod jenayah lampau masing-masing berkaitan jenayah dan dadah.

Mereka kini direman hingga 1 Mei dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

JSJN turut menyita empat kenderaan dua jenis Toyota Vios, sebuah Toyota Altis dan sebuah Proton Saga dengan anggaran nilai keseluruhan RM95,000 dan jika digabungkan nilai sitaan dan rampasan dadah, jumlah keseluruhan mencecah RM82.2 juta.

JSJN kini bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan luar termasuk Drug Enforcement Administration (DEA) dari Amerika Syarikat bagi membongkar rangkaian sindiket ini di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here