BUTTERWORTH – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak autisme berusia lima tahun, pada Mac lalu.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal memerintahkan tertuduh Jasri Ismail, 36, menjalani hukuman terbabit bermula dari tarikh tangkap pada 31 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menculik seorang kanak-kanak lelaki dari bawah penjagaan bapanya berusia 42 tahun di tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena, Kepala Batas jam 8.20 malam 30 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh dalam mitigasinya memohon budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara minima bermula dari tarikh tertuduh ditangkap atas alasan lelaki yang masih bujang itu bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan RM1,800 selain perlu menyara ibunya berusia 75 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli memohon hukuman setimpal susulan tertuduh menculik kanak-kanak berusia lima tahun yang juga berstatus istimewa.
“Kejadian juga berlaku pada malam Hari Raya Aidilfitri yang mana sepatutnya mangsa menggunakan waktu tersebut untuk bersama keluarganya.
“Selain itu, tertuduh juga mencederakan mangsa sehingga terdapat kesan luka pada badanya,” katanya.
Sementara itu, Aini Adilah turut menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah mencuri kereta jenis Honda BRV milik bapa kepada kanak-kanak lelaki yang diculiknya.
Mahkamah turut mengarahkan barang kes diserahkan semula kepada pemilik asal.
ARTIKEL BERKAITAN
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dia melarikan sebuah kereta bersama kanak-kanak austisme dari tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena.
Suspek itu diberkas bersama mangsa berusia lima tahun dan kenderaan berkenaan di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Perak.
Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain. – MalaysiaGazette