KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kira-kira RM360 juta.
Perintah reman selama empat hari sehingga 3 Mei itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50-an dan 70-an itu ditahan antara pukul 4 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2016 hingga 2017.
“Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.30 bilion,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM2009. – MalaysiaGazette