KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan tarikh akhir pada 26 Mei ini bagi sebutan waran tangkap terhadap seorang ‘doktor palsu’ bagi membolehkan pihak pendakwaan memulakan rayuan terhadapnya berhubung kesalahan berkaitan khidmat pergigian.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas memberi peluang terakhir kepada pasukan pendakwaan agar waran tangkap yang dikeluarkan pada 21 April lalu, diserahkan secara fizikal kepada Bunga Melur Alisya Ahmad, 24.
Pada 21 Februari 2024, bekas penuntut jurusan pergigian itu selaku Orang Kena Saman (OKS) dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama enam tahun atas dua kesalahan iaitu menjalankan amalan pergigian dan mengendalikan klinik swasta tidak berdaftar.
Wanita itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan kira-kira pukul 12.10 tengah hari, 6 Disember 2022 di sebuah premis kediaman di Taman Danau Kota, Setapak di sini. Tarikh kejadian merupakan tarikh hari ulang tahun kelahirannya yang ke-21.
Mahkamah Sesyen ketika itu memerintahkan demikian terhadap Bunga Melur dengan bon jaminan RM10,000 tanpa cagaran dengan dua penjamin selepas dia mengaku bersalah atas kedua-duanya.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah memaklumkan, waran tangkap terhadap Bunga Melur tidak dapat diserahkan secara fizikal meskipun pihak polis sudah beberapa kali berusaha mengesannya di alamatnya di Setapak, dekat sini.
Alamat itu direkodkan oleh Mahkamah Sesyen dalam prosiding sebelum ini.
“Kali terakhir usaha itu dilakukan untuk meyerahkan waran tangkap itu di alamat berkenaan pada 24 April lalu dan responden turut memberi maklum balas kepada pihak polis melalui WhatsApp, dua hari kemudian.
“Tindakan responden menunjukkan dia mengetahui perkara berkaitan waran tangkap itu, namun tidak mahu memberikan kerjasama,” ujar Izalina.
Ketika di Mahkamah Sesyen, Hakim Norina Zainol Abidin mengeluarkan perintah itu terhadap Bunga Melur selepas mengambil kira hujah pendakwaan, pengakuan bersalah dan faktor-faktor mitigasi iaitu pesalah pertama, latar belakang dan usia muda, keadaan kesihatan dan faktor kesempitan hidup OKS.
Antara rayuan OKS, dia mendakwa menawarkan khidmat pemasangan pendakap gigi kerana terpengaruh dengan rakan sebaya namun, dia tidak melakukan khidmat pergigian lain seperti mencabut gigi.
OKS turut menghidap ‘henoch schonlein purpura’ sejak 2018 iaitu keradangan pada kulit yang melemahkah otot dan sendi dan perlu mengambil ubat dalam jumlah yang banyak.
Bagaimanapun pihak pendakwaan berhujah agar OKS dikenakan hukuman berbentuk pengajaran dengan mempertimbang bahawa perbuatannya menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan awam. – MalaysiaGazette.