Jalex Lee En Xiang

JOHOR BAHRU – Pemuda MCA Johor disaran berhenti mengeruhkan keadaan dengan tidak lagi mempersoalkan kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tebrau, Jalex Lee En Xiang berkata, seharusnya semua pihak ketika ini memberi perhatian terhadap usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan.

“Berikan cadangan yang membina tentang bagaimana kita boleh menambah baik dasar, memperkukuh pentadbiran dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Kerajaan Perpaduan dibentuk demi kestabilan negara dan ia memerlukan komitmen semua pihak tanpa mengira parti untuk bekerjasama secara ikhlas demi masa depan Malaysia.

“Inilah masanya untuk kita membuktikan kematangan politik dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li hari ini mendakwa kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) hanya ‘melumpuhkan’ BN dari dalam.

Zhi Li mendakwa, PH bukan mahu menyelamatkan BN menerusi kerjasama tersebut dan akan menjadikan parti komponen BN tidak relevan malah membawa gabungan itu ke arah kehancuran politik.

Beliau melontarkan pandangan tersebut sebagai membalas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berhubung kebimbangan dibangkitkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mengenai hala tuju BN bersama-sama PH.

Sebelum ini, Sin Woon dilaporkan meluahkan kekecewaan yang semakin dirasai oleh ramai ahli MCA dan penyokong akar umbi berikutan ketidaktentuan hala tuju politik parti itu dalam BN serta dalam kerajaan Perpaduan hari ini.

Noor Azleen Ambros menyifatkan kenyataan itu menunjukkan Sin Woon gagal melihat gambaran besar dalam konteks kerjasama BN bersama-sama PH menerusi Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, En Xiang berkata, ketika ini perkara yang lebih utama adalah kestabilan kerajaan dan bukannya permainan politik yang tidak berkesudahan.

“Rakyat Malaysia telah penat dan muak dengan kemelut politik yang berlarutan sejak Peristiwa Langkah Sheraton. Mereka mahukan sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan mampu membawa negara ke hadapan, bukan yang terus dibelenggu oleh perebutan kuasa dan retorik politik,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap BN Johor juga mengambil kira semangat perpaduan yang ditunjukkan di peringkat kerajaan Pusat dan memasukkan komponen PH dalam pentadbiran kerajaan negeri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here