GEORGE TOWN – Ideal Property Group menafikan dakwaan bahawa Pengerusi Eksekutif Kumpulan mereka ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan membabitkan skim penipuan pelaburan MBI International Group (MBI), seperti yang tersebar di media sosial baru-baru ini.
Ideal Property Group dalam satu kenyataan berkata, mereka telah mengesan berita palsu dan hantaran tidak sahih yang mendakwa siasatan dan penahanan Pengerusi Eksekutif Kumpulan mereka berkait kes berkenaan.
“Kita menafikan sekeras-kerasnya dakwaan palsu dan berniat jahat tersebut serta menolak kenyataan yang tidak berasas yang berunsur fitnah itu.
“Ideal Property Group beroperasi dengan pematuhan ketat terhadap undang-undang, mengamalkan prinsip perniagaan beretika serta dikenali melalui keunggulan teknikal, kejayaan pelaksanaan projek dan pematuhan regulatori yang ketat.
“Kita komited untuk mengekalkan tahap integriti profesional dan ketelusan operasi yang tertinggi,” katanya, hari ini.
Tambah kenyataan itu, Ideal Property Group juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis susulan penyebaran berita palsu tersebut.
“Selain itu, tindakan undang-undang juga akan diambil segera bagi melindungi reputasi syarikat,” katanya.
Sebelum ini tular Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ideal Property Group, Tan Sri Alex Ooi ditahan pihak polis bagi membantu siasatan MBI.
Media pada 22 April lalu melaporkan lima warga tempatan termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas skim penipuan pelaburan MBI International Group (MBI), dengan polis merampas serta membekukan aset bernilai RM3.5 bilion.
Tindakan pembekuan dan penyitaan sudah dilaksanakan terhadap harta dan aset, termasuk dusun durian dianggarkan bernilai lebih RM223 juta di tiga lokasi iaitu di Raub, Pahang berkeluasan 850 ekar; Jawi, Pulau Pinang berkeluasan 13 ekar; dan Tasek, Kedah berkeluasan 34 ekar. – MalaysiaGazette