KHALID Samad (tengah) pada sidang akhbar berkenaan isu Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu campur tangan dalam isu Kampung Sungai Baru khususnya berhubung penilaian harga tanah terlalu rendah yang dibuat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, Anwar wajar mendapatkan penjelasan daripada JPPH berhubung bagaimana agensi di bawah Kementerian Kewangan tersebut menilai tanah di Kampung Sungai Baru hanya RM450 sekaki persegi.

Sedangkan, kata beliau, tanah yang terletak bersebelahan Kampung Sungai Baru yang diambil bagi projek lebuh raya dan pembinaan stesen transit aliran ringan (LRT) dinilai jauh lebih tinggi iaitu kira-kira RM1,000 sekaki persegi.

“Jadi JPPH perlu jelaskan bagaimana penilaian dibuat dan sekiranya didapati ada perkara yang pelik dan tidak wajar, maka penilaian semula harus dibuat dan harga tanah itu dinaikkan kepada nilai yang munasabah.

“Perdana Menteri patut lihat semula perkara ini dan mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa melakukan sesuatu,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tambah Khalid, beliau secara peribadi pernah membawa isu Kampung Sungai Baru itu secara terus kepada Anwar khususnya berkenaan pampasan tidak adil yang ditawarkan kepada penduduk.

Bagaimanapun, ujarnya, Anwar dimaklumkan para peguamnya sekiranya nilai pampasan itu mahu dinaikkan, maka pampasan kepada penduduk terdahulu perlu diselaraskan, diganti atau diubah semula.

“Tetapi saya rasa nasihat itu tidak betul kerana ini dua kes berasingan, penduduk yang sudah bersetuju itu kes mereka sudah selesai, mereka sudah terima pampasan yang ditawarkan.

“Tetapi bagi penduduk yang tidak setuju ini proses untuk ditetapkan pampasan kepada mereka adalah proses lain.

“Dan tidak ada sebab untuk kita perlu terima harga penilaian pada RM450 sekaki persegi dalam keadaan penilaian oleh JPPH pun boleh dipertikaikan,” katanya.

Sementara itu, Khalid turut menggesa Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berbincang dengan kerajaan khususnya Anwar bagi memastikan penduduk Kampung Baru mendapat keadilan dari segi nilai tanah yang adil dan munasabah.

Ujar beliau, dengan kedudukan sebagai anggota Kabinet iaitu selaku Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari mempunyai ruang dan pengaruh untuk membela nasib penduduk Kampung Sungai Baru berkenaan.

Apatah lagi, jelasnya, penduduk berkenaan sebelum ini juga didakwa terpengaruh dengan saranan Johari supaya tidak menerima tawaran asal pengambilan tanah berkenaan iaitu kira-kira RM1,000 bagi sekaki persegi menyebabkan mereka kini terpakasa menerima tawaran pada harga RM450 sekaki persegi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here