SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor akan memberikan bantuan kesihatan kepada mangsa-mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya dalam proses mendapatkan senarai mangsa yang memerlukan rawatan kulit yang intensif ekoran kebakaran tersebut.
“Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin akan meneliti hal ini dengan maklumat daripada jabatan sama ada yang dirawat di hospital awam seperti Hospital Putrajaya dan Cyberjaya mahupun yang terlibat dengan hospital swasta seperti SJMC dan juga Sunway Hospital.
“Tetapi bantuan yang kita berikan itu tidaklah sepenuhnya mungkin sebahagian untuk mengurangkan kos kepada proses cantuman kulit ataupun faktor kesihatan yang lain,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri program serahan bantuan sewa rumah kepada mangsa insiden kebakaran paip gas Putra Heights di Bangunan SUK Selangor, hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Jelas Amirudin, kerajaan negeri akan menaja sebahagian daripada kos rawatan kepada mana-mana mangsa yang memerlukan.
“Kadang-kadang rawatan memerlukan pencantum kulit sebab ada yang terbakar 30 peratus dan sebagainya yang mana mereka memerlukan proses rawatan yang lama dan kos yang tinggi, tapi kita akan taja sebahagian,” katanya lagi.
Kebakaran saluran paip gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas. – MalaysiaGazette