Rakaman video yang menunjukkan loji jana kuasa nuklear Zaporizhzhya terbakar di Ukraine. foto YouTube

SEOUL – Kira-kira 600 anggota tentera Korea Utara yang bertempur untuk Rusia menentang Ukraine terbunuh dan beribu-ribu lagi cedera, kata pengubal undang-undang selepas Pyongyang secara rasmi mengesahkan kerahan tentera bagi membantu Moscow.

“Setakat ini, bilangan kematian tentera Korea Utara dianggarkan kira-kira 4,700 (orang), temasuk kira-kira 600 kematian,” kata seorang ahli jawatankuasa perisikan Parlimen , Lee Seong-kweun kepada wartawan selepas taklimat agensi perisikan negara itu.

Pada Isnin lalu, Korea Utara mengesahkan bahawa negara itu mengerah tenteranya ke Rusia, dengan agensi berita kerajaan, KCNA melaporkan tentera Pyongyang membantu Moscow mendapatkan semula wilayah di bawah penguasaan Ukraine di wilayah Kursk, sempadan Rusia.

Moscow secara berasingan mengesahkan penyertaan Korea Utara selepas beberapa bulan para pegawai kedua-dua negara berdiam diri, walaupun ketika Seoul dan Washington menuduh Pyongyang menghantar lebih ramai tentera dan senjata.

Kira-kira 2,000 tentera telah dibawa pulang ke Korea Utara pada tahun ini, kata Lee, dan kini dilaporkan diasingkan di Pyongyang dan lokasi lain di seluruh negara itu.

“Difahamkan bahawa mayat mereka yang terbunuh dibakar di Kursk sebelum dibawa pulang ke Korea Utara,” tambah beliau.

Korea Utara ‘menyokong Rusia’ menawan kembali Kursk dengan mengerahkan 18,000 anggota tentera dalam dua fasa, kata Lee sambil menambah bilangan mereka yang bertempur di kawasan tersebut telah berkurangan sejak Mac lalu.

Sejak itu, ‘terdapat laporan salah laku antara tentera Korea Utara, termasuk meminum minuman keras secara berlebihan dan kecurian’, katanya.

Korea Selatan berulang kali mengutuk kerahan tentera itu dan mengkritik Korea Utara kerana menghantar kontena yang mengandungi senjata termasuk peluru berpandu bagi membantu peperangan Rusia ke atas Ukraine.

Sebagai balasan, Korea Utara menerima sokongan teknikal yang banyak daripada Rusia, dakwa Seoul.

Selain itu, selepas enam bulan bertempur, Perkhidmatan Perisikan Nasional Korea Selatan menganggarkan ‘keupayaan bertempur meningkat secara drastik’ terhadap tentera Korea Utara, kata Lee.

“Kekurangan pengalaman pada awalnya hilang dan mereka menjadi lebih mahir dalam menggunakan sistem persenjataan baharu, termasuk dron,” katanya.

Lee berkata, adalah tidak mungkin untuk ‘menafikan sepenuhnya’ bahawa Korea Utara boleh menghantar lebih banyak tenteranya ke Rusia,

Tentera yang dihantar ke Rusia dilaporkan dari kumpulan elit tentera Korea Utara, Storm Corp, yang diarah membunuh diri sendiri daripada dijadikan tahanan, menurut Seoul sebelum ini.

Moscow dan Pyongyang meningkatkan kerjasama ketenteraan sejak Rusia melancarkan penaklukan ke atas Ukraine pada 2022.

Kedua-dua negara memeterai perjanjian ketenteraan pada tahun lalu, termasuk terma pertahanan bersama ketika Presiden Rusia, Vladimir Putin melawat Korea Utara.

Pyongyang melancarkan peluru berpandu balistik yang mencabul sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun lalu.

Para pakar telah memberi amaran bahawa Korea Utara yang dilengkapi dengan senjata nuklear mungkin menguji senjata untuk dieksport ke Rusia untuk kegunaan menentang Ukraine. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here