KUALA LUMPUR – Pusat beli belah, TigaTiga@LSH33 di Sentul, di sini telah dibuka secara rasmi dengan Village grocer merupakan penyewa utama di Tiga-tiga.
Menurut kenyataan Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital), pasar raya premium ini akan menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada penduduk setempat dan pengunjung luar.
“Pembangunannya direka untuk memenuhi keperluan kehidupan moden, menawarkan pelbagai keselesaan, perhubungan dan gaya hidup,” kata kenyataan itu.
LSH33 merupakan pembangunan dinamik yang menawarkan kehidupan mampan mampu milik dengan kemudahan moden dan akses yang mudah ke Lebuhraya Duke, kira-kira lima kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur.
LSH Capital merupakan syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah.
Sementara itu, LSH Capital turut menyerahkan bangunan Pusat Agihan Zakat (PAZA) kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Bangunan PAZA yang terletak di Mukim Batu, Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antara LSH Capital dengan rakan kongsinya, Besteel Engtech Sdn. Bhd. yang mana jumlah sumbangan projek CSR adalah sebanyak RM600,000.
Bangunan tersebut dikenali sebagai PAZA MAIWP Cawangan Batu.
Menurut kenyataan itu, sumbangan bangunan PAZA melambangkan komitmen LSH Capital bagi memastikan hubungan harmoni dengan komuniti setempat dan sumbangan kepada kebajikan.
Katanya, bangunan tersebut akan dijadikan pusat agihan zakat dan menyediakan sumber kritikal bagi menyokong mereka yang memerlukannya.
Selain itu, jelasnya, LSH Capital turut menyokong tadika MAIWP, Permata MAIWP Nurul Yakin dalam usaha tadika tersebut membeli peralatan baharu dan memperkenalkan program berkaitan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif.
Pengarah Eksekutif LSH Capital, Lim Ding Shyong berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada masyarakat menerusi penyerahan bangunan PAZA kepada MAIWP.
“Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan kami kepada tanggungjawab sosial korporat ketika kami terus memainkan peranan yang aktif dalam menyokong inisiatif tempatan yang memakmurkan kebajikan sosial, kesatuan, harmoni dan kesepakatan,” katanya. – MalaysiaGazette