KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru dengan tegas agar gencatan senjata sepihak yang telah diumumkan oleh pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar — termasuk Majlis Pentadbiran Negara (State Administration Council, SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (National Unity Government, NUG) — diteruskan dan dilanjutkan.
“Seruan ini mengambil kira hakikat bahawa gencatan senjata tersebut dijadualkan tamat hari ini, 30 April 2025. Gencatan senjata sedia ada yang kini hanya terhad kepada Sagaing dan Mandalay, kawasan yang terjejas oleh gempa bumi, perlu bukan sahaja dikekalkan, malah diperluas menjadi gencatan senjata kemanusiaan berskala nasional demi memastikan akses bantuan kemanusiaan yang selamat, berterusan dan tidak terhalang kepada semua komuniti yang memerlukan,” kata kenyataan Wisma Putra.
Gencatan senjata kemanusiaan yang menyeluruh amat penting bagi membolehkan operasi bantuan kemanusiaan dijalankan secara selamat, saksama dan berkesan di seluruh negara, selain menjamin keselamatan petugas perubatan dan pasukan bantuan kemanusiaan yang berada di lapangan.
Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamada Hassan secara konsisten menggesa agar gencatan senjata kemanusiaan dilanjutkan dan diperluas di dalam pertemuan mereka bersama pihak-pihak berkaitan termasuk SAC dan NUG bagi memastikan kesinambungan kerja-kerja menyelamat dan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan di Myanmar.
“Dalam perbincangan yang berlangsung di Bangkok awal bulan ini, Perdana Menteri memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah menyatakan kesediaan untuk mengekalkan gencatan senjata bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan.
“Kehadiran pasukan mencari dan menyelamat, petugas perubatan dan sukarelawan kemanusiaan daripada negara-negara ASEAN serta masyarakat antarabangsa di Myanmar turut menguatkan keperluan mendesak bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan stabil untuk operasi bantuan.
“Keselamatan semua petugas ini serta komuniti yang mereka bantu, tidak dapat dijamin tanpa gencatan senjata yang jelas dan berterusan,” ujar Wisma Putra.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia bekerjasama rapat dengan semua Negara Anggota ASEAN, Pusat AHA (ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management), serta rakan-rakan antarabangsa bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan dijalankan secara terselaras berasaskan keperluan dan berpandukan prinsip kemanusiaan.
Perdana Menteri turut menjalinkan komunikasi erat dengan para pemimpin ASEAN dalam menyuarakan kepentingan perkara yang sama.
Malaysia juga kekal komited untuk memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada komuniti yang terjejas selaras dengan elemen utama Konsensus Lima Perkara ASEAN.
Kementerian Luar Negeri sekali lagi menegaskan komitmen Malaysia dalam menyokong tindak balas kolektif ASEAN dan bersedia untuk menganjurkan sesi libat urus lanjutan demi menyokong penyelesaian damai yang inklusif dan dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Myanmar. – MalaysiaGazette