BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk lebih satu tan Carrageenan atau ekstrak rumpai laut dari China tanpa Permit Import yang sah.
MAQIS Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, barangan bernilai RM30,000 itu ditahan di Terminal Kargo Butterworth Wharves (BWCT) hari ini selepas pemeriksaan mendapati pengimport gagal mengemukakan permit yang diperlukan seperti ditetapkan di bawah undang-undang.
“Perbuatan mengimport ekstrak rumpai laut tanpa permit import yang sah adalah menjadi satu kesalahan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, penahanan terhadap barang dagangan tanpa permit import itu juga membuktikan ketegasan MAQIS dalam memastikan setiap kemasukan barangan ke negara ini mematuhi keperluan undang-undang.
Tambah kenyataan itu, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat ini demi memastikan kawalan keselamatan dan biosekuriti negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette