JOHOR BAHRU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) akan terus memainkan peranan sebagai peneraju advokasi hak pengguna yang berteraskan prinsip keadilan dan ketelusan.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang menyambut ulang tahun ke-10 semalam berikrar terus menjaga kebajikan dan kepentingan serta mencari penyelesaian masalah pengguna.
Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Dr Kevy Kv Yeo berkata, menjelang dekad kedua pihaknya mempunyai misi untuk memperkukuh perlindungan pengguna pada era digital.
“MTPN bertekad untuk meningkatkan advokasi bagi isu pengguna digital, termasuk perlindungan data peribadi dan transaksi e-dagang yang selamat.
“Ini termasuk memperluas program pendidikan pengguna ke kawasan luar bandar dan komuniti kurang bernasib baik.
“Begitu juga bekerjasama dengan syarikat korporat bagi mengamalkan tanggungjawab sosial pengguna (CSR) yang lebih holistik.
“Mendorong penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis data bagi mengesan penipuan dan salah guna pasaran,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, MTPN telah mencatat pelbagai pencapaian gemilang sepanjang satu dekad yang lalu termasuk menyelesaikan lebih 3,000 aduan.
Jelasnya, ini melibatkan pelbagai sektor termasuk perbankan, telekomunikasi, perkhidmatan awam dan produk cacat.
MTPN juga katanya, aktif sebagai pemacu dasar bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta memainkan peranan penting dalam pembentukan garis panduan industri demi memastikan amalan perdagangan yang adil.
“Antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah program kesedaran pengguna yang menjangkau lebih sejuta rakyat dan pelancaran Pengguna Bijak Digital bagi mendidik orang ramai tentang keselamatan urus niaga dalam talian,” katanya.
Menurut Dr Kevy, MTPN turut melebarkan pengaruh ke peringkat antarabangsa dengan menjalin hubungan strategik dengan World Consumers Association (WCA) yang bernaung lebih 180 pertubuhan pengguna global.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli, sukarelawan, rakan strategik serta rakyat Malaysia yang terus menyokong perjuangan MTPN.
Tambahnya, ini termasuk rakan strategik dan agensi kerajaan, swasta dan badan korporat termasuk media massa yang membantu menyebarkan kesedaran pengguna.
“Kami akan terus menjadi benteng yang kukuh dalam memperjuangkan hak pengguna. Dekad kedua MTPN akan menyaksikan lebih banyak inisiatif progresif bagi memastikan keadilan untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette