KUALA LUMPUR – Seorang peguam, Zulhazmi Sharif menyangkal dakwaan tanah di Kampung Sungai Baru merupakan tanah Malay Agricultural Settlement (MAS) yang diwartakan sebagai rizab Melayu.
Sebaliknya, kata beliau yang juga penasihat undang-undang kepada bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, tanah Kampung Sungai Baru mungkin terletak di bawah pentadbiran MAS, iaitu situasi berbeza dengan tanah yang berstatus MAS.
Jelasnya, berdasarkan geran tanah, hanya tujuh buah kampung di Kampung Baru yang mempunyai status MAS, dan Kampung Sungai Baru yang wujud disebabkan penambakan sungai bukan sebahagian daripadanya.
“Sebab itu tanah Kampung Sungai Baru ini berstatus leasehold (tanah pajakan) selama 99 tahun dan akan berakhir pada 2078.
“Seperkara lagi jika Kampung Sungai Baru ini tanah rizab Melayu, ia tidak boleh dijual beli oleh bukan Melayu termasuk oleh syarikat dan perkara ini pernah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
“Jadi tolong bezakan antara tanah MAS dan tanah di bawah pentadbiran MAS atau tanah di dalam kawasan Kampung Baru,” katanya yang juga dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.
Zulhazmi juga merupakan bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Khalid Samad sewaktu beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini, kumpulan peguam dan aktivis hak asasi daripada Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru oleh Kerajaan Persekutuan tidak sah apabila satu dokumen rasmi kerajaan menunjukkan kawasan itu masih berstatus tanah rizab Melayu.

Menurut kumpulan itu, siasatan dan semakan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Baru mendapati kawasan tersebut tergolong sebagai MAS yang diwartakan sebagai rizab Melayu sejak tahun 1932 melalui Warta Kerajaan No 1550.
Sehubungan itu, kumpulan tersebut mendakwa, jika status rizab itu masih berkuatkuasa maka segala proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah tidak sah dan perlu dibatalkan serta-merta.
Sementara itu, ditanya berkenaan dokumen yang didakwa dimiliki penduduk yang membuktikan Kampung Sungai Baru adalah tanah MAS, Zulhazmi berkata, dokumen itu tidak mengesahkan perkara tersebut.
Ini kerana, katanya, dokumen itu mungkin sekadar penjajaran semula Kampung Baru yang turut memasukkan Kampung Sungai Baru, tetapi bukan dengan geran berstatus MAS.
Kampung Sungai Baru yang terletak berhampiran Jambatan Saloma dan KLCC kini sedang melalui proses pembangunan semula.
Namun, sebahagian besar penduduk mendakwa mereka diusir tanpa rundingan adil, manakala pampasan yang ditawarkan tidak setimpal dengan nilai pasaran sebenar kawasan tersebut.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan. -MalaysiaGazette