KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warga asing maut selepas tersepit dalam mesin blow moulding ketika melakukan kerja pembersihan di sebuah kilang di Pelabuhan Klang dekat sini semalam.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.35 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja baharu yang ditugaskan menjalankan kerja pembersihan di bahagian pengeluaran kilang.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai cuba mengeluarkan botol plastik yang tersangkut di dalam mesin dengan membuka pintu mesin tersebut sebelum komponen mesin itu tiba-tiba bergerak dan menghimpit kepalanya,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, JKKP Selangor memandang serius setiap kejadian melibatkan keselamatan pekerja dan telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu di tempat kejadian sehingga siasatan selesai.
Selain itu, dua notis larangan turut dikeluarkan terhadap pihak majikan atas kegagalan menyediakan Prosedur Kerja Selamat bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan mesin.
Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta pihak yang bertanggungjawab. – MalaysiaGazette