Heng Zhi Li

JOHOR BAHRU – Pemuda MCA Johor menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) hanya melumpuhkan BN dari dalam.

Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li mendakwa, PH bukan mahu menyelamatkan BN menerusi kerjasama tersebut yang dilihat tindakan membuta tuli dan akan menjadikan parti komponen BN tidak relevan malah membawa gabungan itu ke arah kehancuran politik.

Menurut Zhi Li, beliau melontarkan pandangan tersebut bagi membalas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berhubung kebimbangan dibangkitkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mengenai hala tuju BN bersama-sama PH.

Tegasnya, sebagai rakan pimpinan dalam BN, beliau berpendirian bahawa kenyataan Noor Azleen itu perlu dijawab secara tegas dan jelas selain menyatakan realiti politik sebenar.

“Saya kesal kerana kenyataan tersebut (kenyataan Noor Azleen) meletakkan BN pada kedudukan yang lebih rendah dan tertakluk.

“Kita semua harus ingat bahawa PH bukan menyelamatkan BN, ia sedang melumpuhkan kami dari dalam. Kerjasama membuta tuli hanya akan membawa BN ke arah kehancuran politik dan ketidakrelevanan.

“Kedua, saudara Noor Azleen harus sedar bahawa kerjasama semasa dengan PH bukan sahaja mengecilkan pengaruh politik MCA, malah sedang mempercepatkan kemerosotan kedudukan politik UMNO sendiri.

“Jika trend ini diteruskan, parti-parti komponen BN hanya akan menjadi pelengkap kepada kerajaan yang didominasi PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Sin Woon dilaporkan meluahkan kekecewaan yang semakin dirasai oleh ramai ahli MCA dan penyokong akar umbi berikutan ketidaktentuan hala tuju politik parti itu dalam BN serta dalam kerajaan Perpaduan hari ini.

Susulan itu, Noor Azleen Ambros menyifatkan kenyataan tersebut menunjukkan Sin Woon gagal melihat gambaran besar dalam konteks kerjasama BN Bersama-sama PH menerusi kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Zhi Li menyeru rakan-rakan dalam UMNO supaya tidak terpedaya dengan taktik perlahan PH menerusi kerjasama tersebut.

“Ibarat pepatah ‘katak yang dimasak perlahan dalam air panas’. Bila bahaya mula dirasai, segalanya mungkin sudah terlambat untuk dipulihkan,” katanya.

Lebih penting lagi katanya, BN tidak boleh lupa bahawa ideologi PH amat bertentangan dengan nilai teras yang diperjuangkan BN selama ini.

Antara buktinya kata beliau, adalah kegagalan PH untuk menunaikan janji manifesto, fitnah dan serangan bertubi-tubi terhadap pimpinan BN dan polisi ekonomi PH.

Tambahnya, ini termasuk tindakan tidak bertanggungjawab menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan penggantian dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Ujarnya, keadaan itu melemahkan kedudukan fiskal negara, sangat bertentangan dengan pendekatan BN yang berasaskan pengurusan ekonomi jangka panjang dan berhemah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here