PUTRAJAYA – Bekalan dan penghasilan telur ayam kini menunjukkan trend yang positif, menyebabkan kerajaan membuat keptusan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bermula 1 Ogos ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, situasi pada hari ini berbeza ketika subsidi telur diperkenalkan sewaktu pandemik Covd-19 apabila berlakunya gangguan bekalan di pasaran yang menjejaskan rakyat.
Sehubungan itu katanya, langkah yang diambil kerajaan adalah wajar bukan hanya demi penjimatan semata-mata.
“Dan kita lihat hari ini, dari stok dan penghasilan menunjukkan trend positif.
“Maka Jemaah Menteri berpandangan bahawa apa yang dicadangkan KPKM wajar bukan hanya dari segi penjimatan subsidi, dalam masa yang sama jumlah stok lebih dari mencukupi,” katanya sidang media.
Terdahulu katanya, penamatan subsidi telur itu diputuskan sebelum ini.
“Hal ini pernah dibincangkan sebelum ini, bukan hari ini tapi sebelum ini dibincang dan diputuskan,” katanya.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan sentiasa memantau bekalan dan jualan telur di pasaran dari semasa ke semasa.
KPKM menerusi kenyataan hari ini berkata, kawalan harga telur ayam akan ditamatkan, manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa esok, sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya.
Jelas kementerian tersebut, keputusan kerajaan untuk menyasar semula subsidi telur ayam dibuat dengan mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara. – MalaysiaGazette