BALIK PULAU – Seorang pengurus perakaunan syarikat swasta kerugian lebih RM1.36 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian melalui aplikasi yang dikenali sebagai BIONM.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerima laporan daripada mangsa berusia 70 tahun itu pada Isnin lalu berhubung kejadian berkenaan.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa tertarik menyertai pelaburan tersebut selepas melihat satu iklan jual beli saham di bursa saham yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp pada penghujung Disember tahun lalu.
“Pelaburan itu menjanjikan pulangan keuntungan antara lapan hingga 15 peratus dalam tempoh dua bulan.
“Mangsa yang berminat diminta memuat turun aplikasi BIONM, mendaftar sebagai ahli dan membuat pelaburan melalui aplikasi berkenaan.
“Dia kemudian melakukan sebanyak 14 transaksi pindahan wang berjumlah RM1,365,000 ke dalam empat akaun bank berbeza sebelum menyedari dirinya telah diperdaya apabila diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM1 juta sebagai komisen untuk mengeluarkan keuntungan kononnya bernilai RM11 juta yang telah terkumpul dalam aplikasi itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Hamzah, menyedari diri diperdaya mangsa tampil membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Hamzah menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan dalam talian yang mencurigakan.
“Penyertaan dalam skim pelaburan atas talian sangat berisiko dan masyarakat disaran menyemak terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, atau melalui portal ‘Semak Sebelum Lebur’ sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan,” katanya. – MalaysiaGazette