Seorang penuntut IPTA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual

JOHOR BAHRU – Seorang penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Tertuduh, Muhammad Haziq Jemain, 21, mengalku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Thalha Ba’chok @ Embok Mok.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pelajar tahun satu jurusan Diploma Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat itu didakwa melakukan dua amang seksual fizikal dan bukan fizikal iaitu dengan menyentuh dada mangsa dan melakukan amang dengan tujuan seksual di hadapan mangsa yang sama.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di tepi jalan berhampiran sebuah pangsapuri di Kulai pada 15 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15(c) akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Isa Mohamad Basir.

Nor Fadilah memohon agar tiada jaminan diberikan, namun jika mahkamah menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan bersama beberapa syarat tambahan.

Mohamad Isa pula memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya masih menuntut dan ditanggung sepenuhnya oleh ibu yang bekerja sebagai guru, manakala bapa merupakan seorang peniaga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 11 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here