Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Seorang lelaki berusia 57 tahun mengalami kerugian berjumlah RM558,000 selepas terjebak dalam satu skim pelaburan saham berpangkalan di China yang dipromosikan menerusi media sosial.

Mangsa yang bekerja sebagai ketua penyelia kilang itu dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan menawarkan pulangan lumayan sehingga 15 peratus dalam tempoh hanya tiga hari ketika melayari Facebook sekitar Februari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa menghubungi individu yang mempromosikan pelaburan tersebut melalui aplikasi WhatsApp selepas diperkenalkan kepada satu platform pelaburan bernama Sericrest Pro melalui profil AI Investment.

“Suspek menawarkan tiga tahap pelaburan bermula dengan modal RM100,000, diikuti RM300,000 dan RM500,000. Mangsa memilih untuk menyertai pakej pertama sebelum diminta memuat turun satu aplikasi pelaburan menerusi pautan yang diberi.

“Susulan mangsa membuat 29 transaksi ke dalam 10 akaun bank berbeza dengan harapan akan menerima keuntungan seperti yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hamzah, mangsa hanya sedar dirinya diperdaya apabila tiada sebarang bayaran diterima walaupun dijanjikan akan memperoleh RM1.2 juta dalam akaunnya antara 24 hingga 25 April lalu.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semalam dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here