PUTRAJAYA – Pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewatnya Oktober nanti.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pindaan itu dijangka akan memperkukuhkan lagi hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
“Kita percaya pindaan nanti membolehkan hak rakyat berhimpun akan diperkukuh,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu Fahmi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memaklumkan sebanyak 99 peratus permohonan perhimpunan aman diluluskan.
Ia merupakan jumlah permohonan bagi tempoh 2022 hingga tahun lalu.
“Jadi ini satu angka yang bila kita teliti memberangsangkan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di persidangan Dewan Rakyat 13 Febuari lalu memaklumkan kerajaan bersetuju meminda akta berkenaan.
Jelas beliau, ia bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan perhimpunan aman dalam negara.
Menurutnya, antara lain pindaan itu akan mengeluarkan Seksyen 11 Akta 376 melibatkan keperluan pemunya atau pemilik lokasi perhimpunan yang sebelum ini menjadi pertikaian.-MalaysiaGazette