Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah hasil kejayaan UMNO menubuhkan `UMDAP’ yang mempersuci DAP yang anti-Islam secara terbuka.

Menurutnya, ia termasuk beberapa tindakan mempersuci DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam isu ternakan babi secara haram di kawasan majoriti penduduknya Islam dan dipimpin oleh Melayu Islam.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, ‘UMDAP’ membawa sebahagian daripada UMNO menjadikan matlamat menghalalkan cara (the end justifies the means) mengikut kaedah politik sekular dan cara politik liberal.

Di samping itu, dakwanya, mereka berada dalam kerajaan demi memperoleh jawatan Menteri Besar, Exco, projek, dan kehakiman terpilih bagi menyelamatkan kawan dan sahabat dalam kes yang nyata buktinya seperti jenayah dan rasuah.

“Bersama mereka ialah media seperti Malaysiakini dan lain-lain yang mendukung secara kasar dan halus, berserta kalangan oportunis politik wang dan pangkat yang berjaya dalam PRK Ayer Kuning,” katanya dalam Minda Presiden Pas seperti yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Abdul Hadi, Pas sebelum ini pernah bertahaluf dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun kemudian membatalkannya kerana berpandukan kepada nas al-Quran.

Asalnya, jelas beliau, bertahaluf dan berta‘awun dengan pihak bukan Islam yang tidak menentang Islam adalah diharuskan, sehingga orang bukan Islam boleh menyertai kerajaan Pusat dan menjadi Exco yang tidak berkait dengan dasar Islam, dinamakan sebagai wizarah al-tanfiz.

Bagaimanapun, ujarnya, DAP yang nyata anti-Islam dilarang menyertai kerajaan Pusat berpandukan surah al-Mumtahanah ayat sembilan.

“Terbukti dalam perlembagaan DAP, mereka bercita-cita menegakkan negara sekular yang tidak memberikan kuasa kepada Islam, bahkan mengeluarkan kenyataan secara terbuka menentang pelaksanaan syariat Islam, walaupun penguatkuasaan syariat Islam itu adalah terhadap penganut Islam sahaja.

“Pas menolak kerjasama dengan pihak bukan Islam jika tujuannya mahu akan kemenangan dan kuasa semata-mata,” katanya.

Sementara itu, menurut Abdul Hadi, dalam beberapa aspek, Perikatan Nasional (PN) menunjukkan kejayaan di PRK Ayer Kuning, ditambah dengan keadaan penurunan undi Melayu Islam disebabkan langkah mempersuci DAP dan rakan-rakannya oleh `UMDAP’.

Ujarnya, walaupun calon Pas atau PN, Abd Muhaimin Malek ialah seorang tokoh agama yang bertauliah dan mengajar di banyak masjid, malah muridnya ramai daripada kalangan UMNO, mereka sekadar memahami Islam dalam ibadat fardu ain sahaja, tetapi menolak kewajipan politik dalam Islam.

Maka, kata beliau, tindakan `UMDAP’ mempersuci DAP berjaya menarik atau boleh membeli mereka dengan politik wang dan jentera kerajaan sepertimana amalan yang digunakan UMNO dalam BN dahulu.

“Kesimpulannya, PRK Ayer Kuning dan PRK Nenggiri tidak boleh menjadi ukuran kerana perubahan boleh berlaku dalam keadaan yang berbeza dan berubah-ubah.

“Pas kekal beristiqamah dengan perubahan ke arah yang lebih baik melalui islah dan tajdid.

“Pas menolak perubahan progresif, liberal, dan pragmatik yang berkonsepkan sekularisme,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here