Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir mempengerusikan Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, WTCKL. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning membuktikan rakyat menolak politik perkauman, kebencian, maki hamun dan mainan persepsi seolah-olah Islam dan Melayu terancam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu ditunjukkan menerusi peningkatan sokongan pengundi Melayu, pelbagai kaum dan dalam kalangan anak muda terhadap UMNO.

Dalam masa sama, kata beliau, UMNO berterima kasih kepada jentera parti-parti komponen Barisan Nasional dan Friends of BN, juga rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang bekerja keras memenangkan calon Barisan Nasional (BN).

“UMNO menzahirkan ucapan penghargaan dan berterima kasih kepada seluruh pengundi DUN Ayer Kuning atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional sehingga memungkinkan kemenangan dengan majoriti besar di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kecuali satu sahaja,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata demikian dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini.

Pada PRK DUN Ayer Kuning minggu lalu, calon BN yang diwakili UMNO, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan mengadakan Konvensyen Sekolah Patriotik UMNO kali pertama sempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-79 pada 11 Mei ini di Dewan Tun Hussein Onn, WTC di sini.

Selain itu, ujar beliau, UMNO juga menyokong penjenamaan semula Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi yang akan dimasyhurkan secara rasmi pada 12 Mei ini oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang bertanggungjawab kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini adalah sebahagian daripada pengiktirafan terhadap segala jasa dan sumbangan besar bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here