Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Usaha Barisan Nasional (BN) untuk memuktamadkan pemilihan rakan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah dijangka antara agenda mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.

Menurut sumber, pemilihan Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan strategik dalam blok baharu itu bakal diperhalusi MKT UMNO kerana penggal ke-16 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal berakhir Oktober ini.

MalaysiaGazette difahamkan, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dijangka membentangkan senarai (wishlist) kepada MKT UMNO untuk mendapatkan ‘restu’ sebelum usaha menawan Sabah dimulakan lebih agresif.

“Mesyuarat MKT UMNO pada malam ini, antara lain akan memberi tumpuan wishlist kita, antaranya cadangan kerjasama BN-PH dalam menghadapi PRN17 dan pembahagian kerusi.

“Kita juga bercadang untuk membentuk sekretariat peringkat Sabah yang hanya ditentukan BN peringkat pusat. Kita pun tidak tahu siapa yang mengetuai PH Sabah selepas ini, apatah lagi PKR baru selesai pergolakan dalaman selepas pemilihan baru-baru ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 13 April lalu, media melaporkan, Bung Moktar yang juga Ketua Perhubungan UMNO Sabah mengumumkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN17.

Beliau berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam pemukiman UMNO Sabah pada akhir tahun lalu.

Menurut beliau, perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin PH Sabah juga sudah beberapa kali diadakan dan ia akan disusuli perbincangan secara rasmi dalam masa terdekat berikutan jangkaan PRN17 yang sudah semakin dekat.

Sumber memberitahu, Bung Moktar juga akan mencadangkan untuk mewujudkan perjanjian persefahaman (MoU) baharu antara parti-parti komponen BN-PH bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri selepas menang.

“Peguam juga akan datang dalam mesyuarat MKT UMNO malam ini untuk membincangkan soal MoU itu nanti dan kita mengambil pengajaran daripada MoU pada 2020 yang tidak valid.

“Tambahan pula, undang-undang lompat parti yang diluluskan Mei 2023 masih banyak lompongnya,” katanya.

Ditanya tentang pembahagian kerusi, sumber berkata, BN-PH secara dasarnya sudah mencapai persetujuan dan tiada bertembungan sesama sendiri dalam PRN17 kelak.

Dari 73 kerusi DUN Sabah, BN akan bertanding 40 kerusi, 33 kerusi pula akan ditandingi PH Sabah termasuk DAP (9), UPKO (6) dan selebihnya Amanah dan PKR.

“Sebab itu kita (BN) tak berlanggar (bertembung) dengan dia orang (PH Sabah),” katanya.

Selain itu, sumber mengesahkan calon-calon BN yang bakal mengisi 40 kerusi itu sedang menjalani proses pemilihan dan tapisan ketika ini.

“Calon-calon kita masih belum muktamad lagi cuma sekarang sedang disaring,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here