PUTRAJAYA- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi 2024 sebanyak 4.05 peratus.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, kadar itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun, melibatkan agihan berjumlah RM439.87 juta kepada 6.77 juta akaun pendeposit.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan tadbir urus dan strategi pelaburan PTPTN yang mampan, termasuk pelaburan patuh syariah dalam pasaran wang tempatan serta instrumen jangka panjang seperti sukuk.
“Hasilnya, PTPTN berjaya memberi pulangan kompetitif meskipun OPR kekal pada kadar 3.0 peratus sepanjang tahun 2024,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025, di sini, hari ini.
Tambah beliau, jumlah deposit terkumpul dalam Simpan SSPN meningkat kepada RM3.17 bilion pada tahun lalu, naik sebanyak RM24.37 juta berbanding 2023.
Selain itu, lebih 500,000 akaun baharu telah dibuka sepanjang tahun, menjadikan jumlah keseluruhan akaun kini mencecah 6.77 juta.
“Jumlah keseluruhan deposit yang terkumpul sehingga 31 Disember 2024 adalah sebanyak RM20.56 bilion, satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.
Pada majlis sama, PTPTN turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 yang menawarkan insentif tambahan 1 peratus kepada pendeposit setia.
Kempen ini terbuka kepada mereka yang membuka akaun antara tahun 2004 hingga 31 Disember 2021 dan membuat simpanan minimum RM1,000 dalam tempoh promosi dari 1 Mei hingga 31 Julai 2025.
Simpanan SSPN juga menawarkan pelbagai manfaat tambahan seperti pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000, perlindungan takaful percuma sehingga RM10,000, dan jaminan simpanan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette