SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan akan menanggung kos baik pulih rumah-rumah mangsa insiden kebakaran paip gas Putra Heights sehingga RM300,000 sahaja, kata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pengurusan krisis perumahan susulan kejadian tersebut dikategorikan kepada tiga bahagian dalam memastikan proses pembaikan rumah mereka dapat diselesaikan.
“Terdapat tiga kategori kerja bagi baik pulih dan pembinaan semula rumah-rumah yang terkesan.
“Bagi kategori pertama, iaitu rumah-rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40% dan memerlukan pembinaan semula, kos siling pembinaan ditetapkan sebanyak RM300,000 seunit.
“Bagi kategori kedua, iaitu rumah-rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40% tetapi tidak memerlukan pembinaan semula, kos siling baik pulih ditetapkan sebanyak RM150,000,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Kor Ming berkata sejumlah 81 buah rumah telah mengalami kerosakan melebihi 40 peratus, 138 rumah mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara yang ditubuhkan bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi membantu mangsa-mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana.
Jelas beliau, melalui mekanisme ini, KPKT telah menjalin kerjasama strategik dengan pihak swasta untuk membaik pulih dan membina semula rumah-rumah terkesan.
“Pihak yang menyumbang kepada tabung ini akan diberikan pengecualian cukai sebagai galakan kepada lebih banyak pihak tampil membantu.
“Kerajaan Madani menerusi tabung tersebut akan memperuntukkan RM40 juta untuk kerja-kerja baik pulih dan pembinaan semula rumah-rumah mangsa Putra Heights,” katanya. – MalaysiaGaazette