SUBANG JAYA – Siasatan kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka selesai dalam tempoh seminggu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sehingga kini tinggal satu spesimen daripada paip berkepanjangan empat hingga lima meter perlu dikeluarkan.
“Tiga spesimen yang panjangnya 16 meter sudah dikeluarkan dan ada lagi satu spesimen yang perlu dikeluarkan untuk pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) buat analisa.
“(Jadi) Siasatan di ground zero saya jangka dalam seminggu lagi, sebab kita nak keluarkan last piece (spesimen) itu,” katanya ketika sidang media.
Terdahulu, pengamal media hari ini dibawa meninjau ke lokasi kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, bagi melihat kerja-kerja siasatan melibatkan pengorekan tanah.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat.
Mengulas lanjut Hussein berkata, spesimen daripada paip gas yang berjaya dikeluarkan kelak akan dihantar ke makmal untuk dianalisa, sebelum rumusan punca letupan dan kebakaran diketahui.
Ujarnya, Petronas kemudian akan mengambil alih kerja-kerja memulihkan paip di kawasan terbabit.
“Geoforensik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga akan keluarkan laporan untuk bantu JKKP DOSH berkaitan (analisa) struktur tanah dan lain-lain berkaitan ujian tanah.
“Selepas itu tempat berkenaan akan diserah kepada Petronas untuk proses pemulihan yang mungkin perlu berbulan untuk Petronas pulihkan paip itu,” jelasnya.
Terdahulu beliau berkata, cuaca hujan meliputi 75 peratus daripada 29 hari siasatan melambatkan dan menyukarkan proses itu di lokasi tersebut.
Kebakaran saluran gas yang berlaku pada jam 8.10 pagi 1 April lalu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Bomba mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkam kebakaran sepenuhnya. – MalaysiaGazette