Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari bertemu dengan mangsa-mangsa pada Majlis Penyerahan Bantuan Rumah Sewa Kepada Mangsa Insiden Kebakran Paip Gas Putra Heights di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2025

SHAH ALAM – Siasatan yang dilakukan polis berhubung insiden kebakaran paip gas Putra Heights di Subang Jaya sudah selesai, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, siasatan teknikal sudah dimulakan bagi mengenalpasti secara menyeluruh insiden berkenaan kerana keadaan tanah di kawasan kejadian masih belum stabil.

“Laporan awalnya pun dah keluar sedikit dan kita perlukan sedikit lagi masa kerana kawasan tersebut masih lagi ditakungi air dan memerlukan masa yang panjang untuk diproses ataupun untuk proses siasatan daripada pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG/DOJ) ataupun JPKT.

“Lepas siasatan, kita akan ada cadangan menyeluruh bagaimana keseluruhan jajaran paip ini dapat dielakkan di masa depan atau kurangkan potensi berlaku peristiwa seperti ini kembali demi menjaga kebaikan dan kehidupan yang lebih baik kepada penduduk dan juga masyarakat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri program serahan bantuan sewa rumah kepada mangsa insiden kebakaran paip gas Putra Heights di Bangunan SUK Selangor, hari ini.

Pada 11 April lalu, Amirudin berkata, siasatan teknikal berhubung insiden kebakaran di Putra Heights masih belum dapat dijalankan secara menyeluruh.

Sementara itu, Amirudin memberitahu, projek pemulihan rumah mangsa-mangsa terlibat akan dimulakan pada minggu ini.

Jelasnya, ia akan digerakkan dengan pelaksanaan kategori-kategori tertentu berdasarkan kepada kerosakan rumah masing-masing.

“Kategori pertama adalah kategori kerosakan-kerosakan kecil adalah kerosakan yang dianggarkan di bawah RM30,000.

“Cara untuk memperbaiki rumah ini dengan mangsa memperbaiki sendiri dan tuntut dengan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

“Prosedurnya adalah melalui Persatuan Penduduk dan Ketua Kampung yang akan bertugas mengambil tuntutan daripada penduduk dan dihantar secara mingguan kepada PBT iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerosakan lain pula akan dibaik pulih menerusi dua kaedah yang telah ditetapkan.

Katanya, bagi kawasan Putra Heights, proses baik pulih akan dilakukan Sime Darby yang juga pemaju kawasan berkenaan dengan dibiayai bantuan kerajaan Persekutuan.

“Bagi Kampung Sungai Baharu, kita akan baiki melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana melibatkan kawasan kampung.

“Proses baik pulih ini akan menyiapkan kemudahan asas. Makna sebuah rumah akan kelengkapan pendawaian dan boleh didiami kembali,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here